Selasa – 22 Februari 2020
HARI NI HARI istimewa aku. Hari ulang tahun dan hari kami ke Mustafa Kemal Ataturk Mausoleum ataupun dikenali sebagai Anitkabir.
Dari dulu memang aku sangat tertarik dengan sosok yang bernama Mustafa Kemal Ataturk, Bapa Pemodenan Turki yang berjaya menumpaskan Tentera Bersekutu yang mahu memecah-belahkan Turki. Juga aku nak tahu benarkah bumi tidak mahu menerima jasad Mustafa Kemal Ataturk ini. Hanya Allah yang maha mengetahui.
Macam-macam cerita aku baca mengenai Mustafa Kemal Ataturk, terutama saat sakaratul maut beliau. Dari cerita beliau yang kepanasan sebelum nyawa dicabut dari jasad, hinggalah jasadnya tidak diterima bumi. Ini semua atas tindakan beliau yang menolak Islam secara total demi untuk membawa Turkiye ke zaman kemodenan.
Dalam dunia Islam memang ramai mengecam tindakan Mustafa Kemal Ataturk yang mahu membawa kemodenan kepada negara Turkiye. Tapi rakyatnya sendiri sampai sekarang sangat menyanjung tinggi jasa Presiden Turkiye yang pertama ini setelah berjaya menjatuhkan empayar Uthmaniyyah.
Orang Turkiye banyak kenang jasa Kemal Ataturk kepada rakyat negara itu. Baginya sultan lemah, hingga kalah teruk dengan Tentera Bersatu. Sultan juga gagal membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat Turkiye dan tenggelam dalam kemewahan sendiri. Langsung tidak ambil tahu keadaan hidup rakyat Turkiye. Jadi Mustafa Kemal Ataturk sebagai president yang pertama Republik Turkiye telah melancarkan pembaharuan sekular dan nasionalis dalam bidang politik, ekonomi dan budaya untuk mewujudkan negara Turkiye yang moden, progresif dan sekular.
Bagi Mustafa Kemal Ataturk, Islam mengekang progresif negara. Contoh keluarga monarki atau sistem khalifah yang dilihatnya sebagai gagal. Baginya untuk maju, rakyat perlu liberal; perlu memeluk kemodenan dan menolak “kekolotan yang dibawa oleh agama Islam”. Dia mula menubuhkan beribu-ribu sekolah baharu di Turkiye. Kanak-kanak perempuan diwajibkan ke sekolah. Malah, anak angkatnya Sabiha Gokcen merupakan juruterbang wanita pertama, bukan sahaja di Turkiye, tetapi di dunia. Sekarang nama Sabiha diabadikan untuk lapangan terbang Antarabangsa di Istanbul.
Bagi wanita Turkiye waktu itu, mereka rasa diberi kebebasan dan hak mereka dijaga. Bukan itu saja mereka juga bebas berpakaian seperti wanita Barat, malah diberi galakan untuk mengikuti fesyen atau trend terbaharu Barat waktu itu. Mereka diwajibkan mendapat pendidikan. Hak-hak sivil politik wanita diiktiraf jauh terlebih dahulu daripada negara-negara Barat yang lain. Mereka juga diberi hak kesaksian dan hak warisan, sama seperti lelaki. Dan yang lebih menarik, poligami dilarang sama sekali di Turkiye, walaupun Islam membenarkan.
Untuk mengekang agama Islam daripada kembali di bumi Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk memastikan ulama yang ‘radikal’ atau berani menentang polisi-polisi baharunya dibunuh atau disekat. Beliau juga cuba untuk menukar azan dalam bahasa Turki, tetapi hanya bertahan beberapa tahun sahaja kerana mendapat tentangan kuat dari rakyat Turkiye.
Maka, bersempena hari ulang tahun, kami berempat ke Kemal Ataturk Mausoleum. Kami dah berjanji untuk tunggu di stesen Anadolu (Anitkabir). Dari situ kami berjalan kaki ke Anit Caddesi, pintu masuk di kaki bukit. Kami melalui metal detector dan diperiksa ringkas sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan kompleks. Dari pintu masuk, pengunjung ada dua pilihan, sama ada berjalan kaki ke kompleks makam atau pun menaiki bas percuma.
Kompleks makan Mustafa Kemal Ataturk ni besar tetapi seni binanya ringkas. Ia direka oleh seorang arkitek Turki, Emil Onat dan mula dibina pada tahun 1944 hingga 1953. Mustafa Kemal Ataturk pula meninggal dunia pada 10 November 1938 pada usia 57 tahun. Sebelum beliau disemadikan di sini, jasad beliau diawetkan dulu dan diletakkan di Muzium Etnografi Ankara (Ankara’s Ethnographic Museum). Jasad beliau disemadikan mengikut cara Islam di makam ini pada 10 November 1953 bersempena 15 tahun kematian beliau.
Memang besar sungguh kompleks makam ni. Jalan ke kompleks utama dikenali sebagai Path of Honor dan di kiri kanan laluan diletakkan barisan patung singa Hittite. Makam dan singa melambangkan keberanian dan semangat nasionalisme Kemal Ataturk.
Di hadapan kompleks utama terdapat satu halaman luas yang diperbuat daripada blok batu travertine yang boleh memuatkan 15,000 orang pada satu masa. Di bahagian timurnya terletak Ataturk and War of Independence Museum.
Mausoleum ini pun besar. Batu mar-mar yang cantik sebagai lantai bangunan ini. Bumbungnya pula berukir cantik dan dihias emas. Ada dua pengawal khas yang menjaga pintu masuk ke mausoleum ini. Di dalamnya juga ada pengawal yang menjaga pengunjung supaya tertib dan tidak membuat bising di sini.
Selain daripada makam besar, muzium Ataturk and War of Independence adalah tempat yang wajib pengunjung lawati. Orang selalu keliru yang esofagus di kompleks utama itu adalah makam sebenar Kemal Ataturk. Sebenarnya kubur Ataturk terletak di muzium inilah, benar-benar di bawah makam mausoleum.
Di dalam muzium ini dipaparkan kejayaan Mustafa Kemal Ataturk, dari peperangan sehinggalah kemodenan yang dibawa kepada Turkiye. Muzium turut memaparkan kisah hidup dan khazanah peribadi beliau serta hadiah-hadiah yang beliau terima semasa menjadi Presiden Turkiye.
Apa yang kami pelajari dari kisah Mustafa Kemal Ataturk ini adalah beliau adalah nationalist. Berjaya memerdekakan Turkiye daripada menjadi sebahagian daripada koloni Barat. Membantu menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah kerana sultannya mahu bersekongkol dengan Tentera Bersekutu. Menaikkan taraf wanita (melalui pendidikan) dan mengiktiraf hak wanita.
Tapi apakah benar beliau tersiksa kepanasan akibat tindakan menolak agama Islam dan menggalakkan maksiat ketika menghadapi sakratul maut, hanya Allah SWT yang mengetahui. Sama ada batu mar-mar empat tan digunakan untuk menekan jasad beliau yang tidak diterima bumi, juga hanya Allah SWT dan mereka yang menjalankan ibadah fardu kifayah itu sahaja yang mengetahui.
Apakah ada bau busuk yang keluar dari kubur beliau? Kami juga tak tahu. Kubur beliau terletak di sebalik pintu gangsa yang tebal. Dikelilingnya diletakkan pasu yang berisi tanah dari setiap 81 negeri di Turkiye. Yang pasti, sepanjang kami di hadapan pintu bilik makam sebenar beliau, tiada terbau bauan tidak enak yang keluar dari situ.
Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun beliau meninggal dunia, jasa beliau dalam memerdekakan Turkiye sentiasa dikenang oleh rakyatnya. Malahan anak-anak kecil juga sering dibawa ke Anitkabir untuk dikenalkan kepada siapa sosok yang bernama Mustafa Kemal ini. Bapa Kemodenan Turki atau Ataturk.
Namun bak kata seorang hamba Allah Turkiye: “Mustafa Kemal telah lakukan yang terbaik untuk Turkiye pada zamannya, maka sekarang biarlah Presiden yang ada lakukan yang terbaik untuk negara ini”.
Kami ambil masa jalan-jalan lagi di sekitar kompleks di Anitkabir. Hujan turun renyai-renyai tapi cuaca taklah terlalu sejuk. Sesuai untuk kami berjalan-jalan ambil angin, ambil gambar lagi. Penat berjalan, kami ambil bas turun ke kaki bukit gerbang pintu masuk tadi dan terus berjalan kaki ke arah Metro Anadolu untuk cari makan tengah hari.
Jangan lupa, hari ni kena ambil baju yang dihantar dobi kelmarin. Alhamdulillah merasalah dapat pakai baju-baju bersih lepas ni