ATOK NINI – KE KAPADOKYA

Share this article

Khamis – 17 Februari 2022

AWAL PAGI KAMI sudah bertolak ke Sabihah Gokchen Airport. Kali ini kami terpaksa memilih untuk menggunakan khidmat private transport kerana lapangan terbang ini terletak agak jauh dari Fatih. Tambang menggunakan perkhidmatan ini antara TLR400 ke TLR600. Boleh cari yang sesuai dengan bajet sendiri.

Oleh kerana penerbangan pagi menggunakan perkhidmatan penerbangan domestik Pegasus Airline (RM317.29) kami mahu ada di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum berlepas. Penerbangan kami dari Istanbul ke Kayseri akan berlepas jam 9.40 dan dijadualkan tiba di Kayseri Airport pada jam 11 pagi.

Biasalah aku ni memang bab-bab pengangkutan, aku nak tepat atau datang lebih awal dari waktu. Risau kalau takut tertinggal. Lagi satu, aku cuma beli tiket kapal terbang saja, pengangkutan nak ke Cappadocia, aku belum buat apa-apa tempahan pun. Tak apa, nanti sampai tempatnya baru aku akan fikirkan macam mana. Sekarang ni, semuanya atas bahu aku sebab suami memang tidak ada apa-apa pengalaman langsung dalam mengembara ni. Stress juga dibuatnya sebab aku bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal-hal pengangkutan, penginapan dan destinasi. Selalu aku ingatkan diri sendiri, yang penting kita enjoy perjalanan ni, tak nak terlalu stress sangat-sangat.

Oh, untuk flight ni, memang aku pilih comfort flexi, tu yang harga dia agak mahal sikit. Sebab penerbangan pagi, aku rasa memang kita tak akan ada masa untuk makan sarapan, jadi aku siap-siap beli sandwich dalam penerbangan. Suami kalau dia tak cukup makan, dia akan cranky sikit, jadi di balai berlepas, aku belikan kopi Starbucks siap-siap.

Tiba di Lapangan Terbang Kayseri, aku cari bas yang ke stesen bas utama. Ingatkan ada bas besar macam bas Havaist di Istanbul, rupanya Dolmus (public minibus service) lebih kepada macam van transfer yang boleh muat kira-kira 15 orang. Tambang dalam TLR50 untuk berdua. Perjalanan pun lebih kurang 20 minit. Kami minta turun di Kayseri Otogar kerana nak cari bas ke Goreme/Cappadocia.

Bandar Kayseri ni sebenarnya agak menarik. Banyak juga bangunan tinggi tapi orang selalu sengaja lepas pandang bandar ni sebab kebanyakannya nak ke Goreme/Cappadocia aje, macam kami. Insya Allah kalau ada rezeki kesihatan dan wang, bolehlah kami ke sini lagi dan kali ini boleh luangkan masa untuk explore bandar Kayseri sebab di sini pun ada resort ski mungkin kurang sesak dengan pelancong macam di Uludag.

Driver Dolmus berhentikan kami tepi jalan aje. Alahai! Kena tarik beg masuk ke dalam bangunan Otogar. Aku melilau juga cari syarikat bas yang ada bas berlepas sekarang ke Cappadocia. Malangnya syarikat bas besar macam Kamilkoc pun tak ada bas berlepas sekarang. Kena tunggu jam 2pm nanti baru ada bas ke Goreme. Cari di agensi bas-bas yang lain, semua tak ada bas ke Cappadocia pula.

Dalam kalut-kalut cari tiket bas, dengan bahasa Turki yang limited, menggunakan khidmat Google Translate, staf agensi bas yang baik hati suggest kami naik Dolmus ke Goreme. Harga kena runding dengan pemandu Dolmus. Sekali lagi kami tarik bas ke luar, ke tempat parkir Dolmus. Sebab dah last minute, pemandu minta TLR80 untuk dua orang. Bila diberi TLR100 tak dipulangkan pula duit baki hahaha.. Tak apalah aku malas dah nak fikir apa-apa.

Dolmus dah penuh, jadi boleh jalan. Kalau ikutkan adab orang Turki, ada pemisahan tempat duduk antara lelaki dan perempuan. Kalau couple, tak apa. Tapi memandangkan kami ni last minute, aku duduk aje sebelah pakcik ni. Selamba ajelah nak kata apa kan. Perjalanan pula panjang, dekat satu jam nak sampai ke destinasi.

Dolmus menurunkan penumpang di otogar di tengah-tengah pekan kecil Goreme. Pekan ni tak seperti yang aku bayangkan. Macam pekan koboi! Hahaha. Walaupun tak besar mana, ia terkenal di kalangan pelancong dan banyak hotel-hotel moden. Pekan moden dia tak besar mana dan jalannya agak teruk. Mungkin disebabkan salji yang turun agak lebat sebelum ini, maka keadaan jalan jadi rosak.

Hotel kami terletak kira-kira 500 meter dari pekan, jadi bermulalah acara pegang handphone untuk cari arah dan satu tangan lagi tarik beg. Di Goreme ini, kami pilih untuk menginap di Milat Cave Hotel selama 3 malam dengan bayaran RM317, termasuk sarapan pagi. Alhamduillah, dapat bilik yang selesa dan aku terus hubungi sepupu yang sudah tiba di Goreme awal tadi dan berjanji akan bertemu di pekan petang nanti. Sempatlah untuk kami rehat sebelum keluar semula.

Bilik kami di tingkat 1. Biliknya cukup untuk kami berdua. Adalah ruang yang selesa untuk bersolat. Memang selesa.

Seperti kebanyakan hotel di Goreme, bahagian atas atau bumbung biasanya dibuat tempat sarapan atau lepak untuk tengok belon-belon panas di udara. Memang sesuai untuk OOTD dan naikkan gambar di Instagram berlatar belakangkan fairy chimneys dan belon-belon panas di udara.

Seperti yang dijanjikan, kami bertemu sepupu di sebuah restoran di pekan. Sepupu dan suami travel Turki selama 44 hari dan mereka sudah mula menjelajah sejak 31 Januari lepas. Kami akan travel bersama di Cappadocia dan mungkin di Ankara. Selepas itu kami kembali berdua kerana kami akan teruskan ke Izmir sementara sepupu dan suaminya mahu ke Kars pula.

Misi kami hari ini adalah untuk menikmati pemandangan matahari tenggelam di bukit yang dikenali sebagai Asiklar Tepesi atau Lovers Hill. Ada dua cara ke puncak bukit ini, sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Aduh mengah juga mendaki bukit, apatah lagi satu hari yang penat, mengejar pengangkutan!

Untuk pejalan kaki, yuran yang dikenakan cuma TLR4 manakala untuk kenderaan TLR10. Jalan agak curam dan sempit. Di musim salji sebenarnya, agak sukar untuk mengawal kenderaan naik ke bukit ini tapi, bagi yang berpengalaman, mungkin tak ada masalah sangat.

Subhanallah, memang cantik sungguh pemandangan waktu matahari turun di sini. Pemandangan fairy chimneys atau formasi batu unik di Goreme dan banyak yang dijadikan sebagai tempat berlindung, memang satu-satunya sahaja di sini. Melihat batuan yang bertukar warna seiring dengan pergerakan matahari memang memukau. Aku bayangkan kalau awal pagi, tempat ni mesti popular dengan pelancong yang nak tengok belon-belon panas di udara.

You might also enjoy

KE DUBLIN

Isnin lepas, saya mengendeng ikut ‘housemate’ pergi ke menyeberang laut

DESTINASI TERAKHIR: MANCHESTER

Jumaat: 18 Mac 2022 HARI NI KAMI tinggalkan Glasgow dan mulakan perjalanan ke Manchester pula. Ini bandar terakhir kami di UK sebelum…

DUNEDIN, IBU KOTA SCOTLAND

Rabu: 16 Mac 2022 BAS KAMI KE Edinburgh bertolak jam 9.40 pagi. Awal pagi kami dah ke Buchanan Bus Station untuk naik bas ke ibu kota…

HELLO GLASGOW!

Selasa: 15 Mac 2022 INILAH TEMPAT JATUH bangun selama 5 tahun. Banyak kenangan pahit manis di sini. Bandar yang menyatukan kami yang ke…

BYE HULL, SAMPAI KETEMU LAGI

Isnin: 14 Mac 2022 TIBA MASA KAMI tinggalkan bandar York dan pasangan yang dah jadi keluarga angkat aku. Hari ni kami akan ke Glasgow…

KOTA DI BALIK TEMBOK

Sunday: 13 Mac 2022 HARI NI KAMI ke York pula. Asalnya nak cari carboot tapi memandangkan masih lagi dalam bulan musim sejuk, belum ada…

KNARESBOROUGH PEKAN FAIRY TALE

Sabtu: 12 Mac 2022 HARI NI KAMI ke Knaresborough. Tempat ni lebih kurang 70 batu jauhnya dari Hull. Jadi, pagi lepas sarapan, kami pun…

PERJALANAN KE HULL

Jumaat: 11 Mac 2022 JAM 6AM, KAMI dah sedia nak keluar heret beg ke stesen kereta api King Cross. Pembantu hotel kata, tak perlu buat…